Selamat Datang ke joranbiru.blogspot.com

Advertisement

Advertisement

Trip Jigging di Pulau Jarak

Assalamualaikum dan salam sejahtera... Setelah puas bergasak dengan ikan air tawar, maka pada penghujung bulan Mac iaitu dua hari selepas aku berjaya  menewaskan Arapaima di Fish Valley, aku telah menyertai trip jigging di Pulau Jarak, anjuran  "Team Pak Tam Angler". Trip kali ini disertai oleh Pak Tam (Pengurus Hasya Joran Seri Kembangan) sebagai ketua, Iswandi, Amin, Arip, Hadi, Lan, Chef Indrawan dan Aku.

Sebenarnya mereka ni dah banyak kali membuat trip memancing ke Pulau Jarak dan beberapa lokasi di perairan Malaysia. Tetapi inilah kali pertama aku menyertai mereka dan merupakan kali pertama juga aku memancing menggunakan teknik jigging.

Sarapan di Kg Setiawan
Seawal jam 8.00 pagi kami telah sampai ke Kg Setiawan, sebelum ke jeti kami bersarapan terlebih dahulu dan membungkus nasi lemak serta mee hun untuk dijadikan santapan tengah hari nanti.
Enjin yang digunakan
Speed boat kepunyaan tekong Chong mempunyai dua enjin dan setiap satunya berkekuatan 200 horsepower, dengan berkekuatan 400 horsepower kami cuma mengambil masa 1jam20 minit sekiranya ingin terus ke Pulau jarak. Namun pada trip kali ini kami akan singgah dibeberapa lubuk sepanjang perjalanan ke Pulau Jarak.

Min vs Tenggiri
kami sampai ke lubuk pertama lebih kurang jam 10.00 pagi, kedalaman lubuk antara 60ft-70ft. Tekong Chong mengesyorkan kami menggunakan kepingan jig 120g - 150g dan disambung dengan cable. Ini kerana lubuk ini terkenal dengan kerakusan tenggiri membaham jig.

Jig pertama yang disambar tenggiri ialah jig Lan, namum nasib tidak menyebelahi beliau, perambut beliau putus semasa pertarungan. Bergitu juga dengan beberapa ahli yang lain, kepingan jig mereka "hangus" dilarikan tenggiri yang berjaya memutuskan tali perambut. Kemudia jig Amin dan jig aku pula disambar tenggiri, namun kami bernasib baik kerana perambut kami tidak diputuskan oleh tenggiri.

Setelah hampir satu jam mengarau jig dan tiada sebarang sambaran, tekong Chong membawa kami ke satu lubuk Haruan Tasik.

Setibanya di lubuk haruan tasik yang berkedalaman 65ft-75ft, tekong Chong mengesyorkan kami menggunakan kepingan jig 120g ke atas. Ini disebabkan arus yang agak deras. Sedang kami mengarau jig tiba-tiba permukaan air berkocak dan anak-anak ikan melompat ketakutan. Melihat situasi itu tekong Chong mengesyorkan kami menggunakan  teknik casting atau micro jig. Ternyata teknik itu berkesan, kami tidak menang tangan melayan asakan haruan tasik.

Dibawah antara aksi-aksi yang sempat dirakam semasa "Team Pak Tam Angler" melayan haruan Tasik.


Amin vs Aruan Tasik

Hadi vs Aruan Tasik
Pak Tam vs Aruan Tasik

Chef Indrawan vs Aruan Tasik
Aku vs Aruan Tasik
Kesemua ahli merasa bertarung dengan  haruan tasik, namun ada antara ahli yang kecundang apabila tali utama putus semasa pertarungan.
Pulau Jarak
Setelah puas diasak Haruan Tasik, tekong Chong membawa kami ke lubuk seterusnya iaitu berhampiran dengan Pulau Jarak. Lubuk ini berkedalaman 25ft-35ft dan lebih kepada lubuk GT. Kami menggunakan jig 120g dan ada ahli lain menggunakan teknik casting dengan gewang popper.

Jig aku yang pertama sekali disambar GT pada lubuk ini, kemudia diikuti dengan Pak Tam. Beberapa ahli yang lain kehilangan jig disebabkan tersangkut pada terumbu karang.

Dalam perjalanan balik ke jeti, tekong Chong singgah pada lubuk terakhir dan hasilnya Arip berjaya menewaskan seekor Jenahak. Manakala Amin dan Iswandi putih mata disebabkan tali utama terputus semasa pertarungan.

Hasil Jigging Pulau Jarak


Hasil Jigging Pulau Jarak

Hasil Jigging Pulau Jarak

Ahli Kumpulan "Team Pak Tam Angler"

Secara keseluruhannya kesemua ahli "Team Pak Tam Angler" amat berpuas hati dengan hasil tangkapan kali ini. Walaupun ada diantara kami baru menggenali antara satu sama lain. Namum sebagai sebuah pasukan, semangat kerjasama, bertolak ansur dan hormat menghormati antara satu sama lain sangat diutamakan.

Dilampirkan sekali link youtube antara aksi-aksi kami di Pulau jarak

http://www.youtube.com/watch?v=rl0VaoFB8rc  (Aku dan Pak Tam vs Aruan Tasik)
http://www.youtube.com/watch?v=0Mgmsn5A30Q  (Arip vs Aruan Tasik)
http://www.youtube.com/watch?v=y20r9v4kgEo  (Hadi vs Aruan Tasik)








Arapaima Gigas Fish Valley

Assalamualaikum dan salam sejahtera.. Pada penghujung bulan Mac yang lepas aku telah berkomplot dengan dua orang sahabat iaitu Farid dan Al'Hafiz untuk memancing di Fish Valley. Mengikut perancangan kami akan mula memancing jam 8.00 pagi. Tetapi tepat jam 8.00 pagi cuma aku sorang sahaja yang ada kat Fish Valley, malahan penjaga kolam pun belum sampai lagi...

Aku membuat persiapan awal kerana target aku pada hari ini bukannya calang-calang ikan, aku mengsasarkan ikan yang paling besar dalam kolam Fish Valley. Aku menggunakan tiga batang joran, dimana salah satunya adalah mesin dengan tali branded berkekuatan 50lb digabungkan dengan rod pioneer aksi sederhana dengan panjang 7 kaki.

KEHADIRAN AL'HAFIZ

Lesen Lampam

Lebih kurang jam 9.30 pagi baru lah Al'Hafiz sampai, beliau dengan muka  "selamba" mengatakan jalan sesak. Tanpa melengahkan masa beliau terus memasang umpan. Baru 5 minit melontar umpan joran beliau telah melentur. Rupa-rupanya umpan  beliau telah diragut lampam dan itulah lesen beliau pada hari ini.

LeeKoh

Kemudian umpan beliau diragut lagi, kali ini beliau mendapat ikan LeeKoh pula. Aku cuma menjadi cameraman sebab ketiga-tiga umpan aku masih belum diragut ikan...

KEHADIRAN FARID

Pacu 5.0kg

Lebih kurang jam 10.15 pagi Farid pun sampai, beliau lewat sebab beliau baru balik dari kerja Shif malam. Sebaik sahaja beliau melontar umpan, umpan beliau terus diragut ikan. Mesin pada joran beliau menjerit dan tali keluar tanpa henti. Setelah hampir 5 minit bertarung akhirnya beliau berjaya menewaskan seekor pacu yang beratnya 5 kg. Dan seperti biasa aku menjadi cameraman kepada beliau.

TEWASNYA ARAPAIMA GIGAS

Lompatan Arapaima Gigas

Setelah 3 jam menunggu tanpa sentuhan pada mana-mana umpan aku, tiba-tiba Farid terdengar bunyi locen berbunyi tanpa henti dan diikuti dengan bunyi lompatan ikan yang besar. Aku berlari kearah joran  dan didapati tali pada mesin keluar laju tanpa henti. Aku menyambar joran dan membuat satu rembatan. Tiba-tiba seekor Arapaima melompat dihujung kolam. Aku mengawal drag supaya tali tidak terlalu tegang untuk mengelakan tali utama putus.

Lompatan Arapaima Gigas

Setiap kali drag diketatkan ikan akan meloncat. Ikan semakin jauh membawa tali ketengah kolam, aku terpaksa mengetatkan drag dan menaikkan hujung joran setinggi mungkin untuk melemahkan ikan. Akhirnya ikan mula lemah dan aku berjaya memujuknya ketepi kolam.

 Arapaima Gigas

Sebaik sahaja ikan sampai ketepi kolam satu lagi masalah timbul, ini kerana tanguk yang digunakan tidak muat untuk ikan tersebut. Maka aku terpaksa masuk kedalam kolam untuk menagkap ikan tersebut.

VIDEO TEWASNYA ARAPAIMA GIGAS

 


Teknik Hibernasi peringkat ke-3

Setelah Arapaima dilepaskan Al'Hafis telah mengambil kesempatan untuk melelapkan mata, mungkin beliau penat menjadi cameraman untuk merakam aksi-aksi pertarungan aku dan Arapaima tadi.

lampam 3.0 kg

Sedang kami merehatkan diri tiba-tiba joran Farid pula melentur kuat, ikan membawa tali jauh ketengah kolam. Beliau membalas dengan satu sentapan dan pertarungan bermula. Akhirnya beliau berjaya menewaskan seekor Lampam yang beratnya 3.0 kg

Keli 5.4 kg

Selang beberapa minit Farid melempar umpan, mesin beliau berbunyi lagi. Beliau mencapai joran dan pertarungan bermula. Hampir 4 minit bertarung akhirnya beliau berjaya menewaskan seekor keli 5.4kg.

LeeKoh

Kemudia giliran aku pula menjinakan seekor Leekoh 2.5 kg

Pacu 5.2kg

Sedang kami mengemas barang untuk pulang, tiba-tiba joran Al'Hafiz melentur, beliau terus mencapai joran dan mengetatkan drag. Pertarungan berlanjutan lebih kurang 5 minit dan akhirnya beliau berjaya menewaskan seekor pacu 5.2 kg.

Secara keseluruhanya kami sangat berpuas hati dengan trip kali ini, pelbagai spesies ikan berjaya kami jinakan. Dan yang paling bestnya aku berjaya menewaskan antara spesies ikan air tawar paling besar didunia iaitu Arapaima Gigas.

Tongsan Tow Foo

Assalamualaikum dan salam sejahtera... Disebabkan sudah lama tidak menjejakan kaki ke kolam Tow Foo, maka pada pertengahan bulan Mac yang lepas aku telah berkomplot dengan Farid kumpauleague untuk memancing disana.



Membeli peralatan di Kepong Tackle

Dalam perjalanan kami telah singgah di Kepong Tackle untuk membeli peralatan sebagai persediaan untuk menduga kolam Tow Foo.

Antara umpan yang digunakan

Ini antara umpan yang aku gunakan untuk menduga kolam tow foo pada komplot kali ini. Dua keping roti Gardenia dibalut pada dua mata kail dan dicelup dengan sos ciptaan sendiri sebelum dilempar ke tengah kolam.
Patin
Setelah 3 jam menunggu tanpa sebarang ragutan, tiba-tiba joran aku melentur, tali keluar tanpa henti, aku mencapai joran dan membuat satu sentapan menyebabkan ikan memecut tanpa henti. Pertarungan berlanjutan  lebih kurang 4 minit, dan akhirnya aku berjaya menewaskan seekor patin yang beratnya lebih kurang 4 kg.

Lokasi ikan melarikan umpan

Sedang aku memasang umpan tiba-tiba joran Farid pula melentur, tali keluar tanpa henti, beliau mengetatkan drag namum tali masih juga keluar. Ikan telah membawa umpan hingga ke hujung kolam iaitu ke arah B dalam gambarajah. Dianggarkan jarak A ke B adalah 70m - 80m, kami mula rasa bimbang, kerana tali yang digunakan hanya berkekuatan 25lb. Setelah 4 minit melayan asakan ikan, apa yang dirisaukan selama ini menjadi kenyataan, tali utama tiba-tiba putus semasa pertarungan. Maka berakhirlahimpian Farid untuk menewaskan ikan tersebut.

Tongsan 10.8 kg
Suasana kolam kembali sunyi, mungkin ikan terperanjat disebabkan kekecohan pertarungan Farid dengan ikan sebentar tadi. Satu jam menunggu, tiba-tiba joran aku pula melentur. Aku membalas dengan satu sentapan dan ikan terus memecut ke tengah kolam, aku mengetatkan drag untuk mengurangkan pecutan ikan. Pecutan ikan mula perlahan, namum ianya masih bertenaga. Setelah hampir 6 minit   aksi ikan mula menjadi lemah, aku mengambil kesempatan ini dengan mengarau mesin secepat mungkin dan akhirnya aku berjaya menewaskan seekor tongsan yang beratnya 10.8 kg.

Secara keseluruhannya komplot kali ini agak kurang memuaskan. Kebiasaanya kami berjaya menewaskan lebih dari 4 ekor ikan dalam satu-satu trip. Semejak Tow Foo mengadakan jackpot bulanan, kuantiti ikan yang berjaya ditewaskan semakin kurang, ini mungkin disebabkan sudah terlalu ramai pemancing menduga Kolam Tow Foo.